Majlis Pelantikan Penaung Kehormat &
Penyerahan Sijil Syariah oleh Dr Zaharuddin Abd Rahman
Sesi menandatangani Watikah Pelantikan Penaung Kehormat oleh Pengerusi Koperasi NUCW, Tuan Haji Nodin Bin Abu Bakar bersama Y.M Tengku Khairul Adena binti Almarhum Y.M Tengku Abdullah
Sesi penghargaan dan penyerahan Sijil Syariah Pelan Simpanan Khas Koperasi NUCW Berhad oleh Dr Zaharuddin Abd Rahman
Koperasi NUWC Berhad, 16 Februari 2026 – Koperasi NUCW hari ini mengambil langkah bersejarah dalam usaha memperkukuh tadbir urus dan pematuhan syariah apabila mengadakan Majlis Pelantikan Penaung Kehormat serta Penyerahan Sijil Syariah bagi produk Pelan Simpanan Khasnya.
Majlis yang berlangsung di De.Wan ini telah disempurnakan dengan pelantikan Yang Mulia Tengku Khairul Adena binti Almarhum Yang Mulia Tengku Abdullah selaku Penaung Kehormat Koperasi NUCW. Kehadiran Baginda dijangka akan membawa sinar dan martabat baharu kepada hala tuju koperasi dalam usaha memperkasa kebajikan ahli.
Pengerusi Koperasi NUCW, Tuan Haji Nodin Bin Abu Bakar, dalam ucapannya menyatakan bahawa keputusan melantik Y.M. Tengku Khairul Adena adalah manifestasi iltizam koperasi untuk terus bergerak seiring dengan institusi berwibawa.
“Kami amat berbesar hati dengan penerimaan Y.M. Tengku Khairul Adena. Ini bukan sekadar majlis formaliti, tetapi simbol ikatan erat antara koperasi dan pihak yang berautoriti untuk memastikan NUCW terus relevan di hati ahli,” katanya.
Turut memeriahkan majlis, Ketua Pegawai Operasi (CEO) Koperasi NUCW, Mr. T.M Rajeswaran, serta barisan Ketua Jabatan (HOD) yang sama-sama menyaksikan detik penting ini.
Dalam majlis yang sama, Koperasi NUCW juga menerima Sijil Syariah bagi produk Pelan Simpanan Khas daripada Elzar Syariah Consultancy. Sijil tersebut diserahkan secara rasmi oleh pakar kewangan islam yang tidak asing lagi, , Dr. Zaharuddin Abdul Rahman, yang turut hadir memeriahkan majlis.
Menurut Dr. Zaharuddin, produk Pelan Simpanan Khas yang ditawarkan oleh Koperasi NUCW telah melalui proses semakan terperinci dan memenuhi prinsip-prinsip maqasid syariah.
“Pematuhan syariah ini penting untuk memberi keyakinan kepada ahli bahawa setiap pelaburan dan simpanan yang dibuat adalah telus dan bebas daripada elemen yang tidak dibenarkan. Saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada pasukan Koperasi NUCW yang bertungkus lumus dan memberikan kerjasama dalam menyediakan produk yang mematuhii tuntutan agama,” ujar Dr. Zaharuddin.
Majlis diteruskan dengan sesi ramah mesra dan jamuan ringan bersama barisan kepimpinan tertinggi koperasi serta tetamu jemputan.
Dengan perlantikan penaung kehormat berdarah bangsawan serta pensijilan syariah yang baharu, Koperasi NUCW diyakini mampu melonjak ke tahap lebih tinggi sebagai sebuah koperasi moden yang telus dan berkredibiliti.


